#187 Purnama ke 8 (Dear Suami)

Bismillah. Alhamdulillah.

Dear Suami,

Selamat 8 purnama bergelar suami. Semoga Allah swt terus memberkati dan meredhai pernikahan yang kita harungi atas nama Allah swt ini.

Dear Suami,

Terima kasih untuk ke sekian kalinya. Kerana banyak berusaha dalam menjadi yang terbaik, sebagai pemimpin keluarga kita. Terima kasih kerana banyak berpesan-pesan tanpa jemu dan lelah. Terima kasih kerana banyak bersabar dengan perangai aneh seorang wanita bergelar isteri ini. Terima kasih kerana tidak pernah meninggi suara dan sering menegur dengan hikmah. Terima kasih yang tidak terhingga di atas kasih sayang yang kamu limpahkan buat isteri mu yang banyak kurang ini. 

Dear Suami,

Maaf kerana isteri kamu ini banyak cacat celanya. Punyai emosi yang turun naik dan tidak menentu. Punyai selera yang terkadang rumit dan menyusahkan. Maafkan isteri kamu ini yang terlalu banyak bercakap tanpa mengambil kira waktu kamu lelah dan mahu rehat. Maafkan isteri kamu ini yang terkadang culas menguruskan rumahtangga. 

Dear Suami,

8 purnama ini mungkin tiada apa-apa untuk kebanyakan pasangan di luar sana. Apa ada pada 8 purnama sedangkan mereka telah mengharungi jatuh bangun pasangan suami isteri selama 8 tahun, 18 tahun, 28 tahun, mahupun 80 tahun. 

Namun suami, pada isterimu ini, 8 purnama ini adalah satu perjalanan yang mahal. Perjalanan belajar mengenali kamu, menyayangi kamu, mencintai kamu, menguruskan rumah tangga bersama kamu, memasak untuk kamu, bergurau senda dan gelak ketawa bersama kamu. Paling istimewa sekali, perjalanan 8 purnama ini turut disertai pengalaman kamu melayani isteri yang mabuk hamil, dan pengalaman aku mengharungi cabaran mabuk, lelah, letih hamil. 

Semoga Allah swt terus limpahi ikatan perkahwinan ini dengan kasih sayang yang tiada bertepi.
Teruslah membentuk diri ini, agar beroleh peluang bergelar isteri solehah, di dunia dan SyurgaNya nanti.

Ikhlas,
Isteri Yang Menyayangimu



Comments

Popular Posts