Puisi Kegemaran: Puisi Buat Abah

Title: Puisi Buat Abah
Dedikasi: Buat Ayahanda Kapt. (B) Mohamad Nor Bin Hitam


Abah,
Aku pasti kamu masih ingat
Masa aku mula-mula berjauhan dengan kamu dan bonda
Aku diam diam tulis warkah buat kalian berdua
Aku kata aku mahu beli satu kereta Wira untuk kita guna satu keluarga
Sebab masa tu kita cuma ada Kancil aja


Bertahun tahun telah berlalu
Satu hari aku jumpa warkah itu
Aku kata 'Abah, buanglah! Aku malu!'
Tapi kamu kata,
'Jangan. Ini kenangan milik aku'.


Abah,
Aku tahu kamu takkan lupa
Dari aku kecil, bodoh, tak tahu apa-apa
Sampai aku pergi sekolah asyik bermain macam orang gila
Kamu takkan lupa untuk kata, 'Abah nak kau berjaya..'


Kamu ajar aku tentang dunia
Kamu didik aku untuk jadi manusia
Kamu pesan bila besar jadi insan berguna
Walaupun nakal aku, sungguh berbisa.


Abah,
Bonda selalu kata, 'susah nak jumpa lelaki macam Abah kamu'
Dulu dulu aku rasa itu semua ayat untuk ampu
Tapi lepas aku telek satu persatu tentang kamu
Aku yakin bonda tak menipu, juga bukan kaki ampu


Kamu mungkin tak sedar tingginya nilai diri kamu
Tapi hari ni kamu perlu tahu
Bahawasanya anak-anak dara kamu semuanya goyah, resah, dan keliru
Goyah mencari teman hidup kalau tidak sehebat dan semulia kamu


Abah,
Aku tahu dalam diam aku banyak buat kamu kecewa
Aku gagal menjadi apa yang kamu cita
Aku degil aku bebal aku tak dengar kata
Tapi percayalah, hari hari aku berusaha untuk buat kamu bangga


Aku tak perlu jadi doktor
Aku tak perlu jadi professor
Cukuplah aku jadi aku
Anak kau yang menjadi MANUSIA yang tahu malu


Abah,
Esok hari terakhir aku periksa
Aku tak ada benda lain dah nak kata
Cuma aku nak bagitahu dengan ini bicara
Bahawa dalam hati ini ada satu istana
Yang Raja nya Kamu dan Permaisurinya Bonda

Janji ya, kita sama-sama sampai Syurga!


Cinta sayang penuh jiwa;
Najlaa Mohamad Nor
29/09/2011

Comments

Anonymous said…
amat suka ini puisi ini..
Najlaa said…
Terima kasih Sang Mohfas.

Popular Posts