134# hati baru

Saya berjanji, entri ini tidak berbaur emosi. Senyum sikit. 

Kebelakangan ini macam macam benda merepek (at least to me) yang berlaku. Terkini, berlaku rombakan kabinet dan TPM digugurkan. Di Malaysia, semua boleh berlaku.

Tapi di blog yang suci murni dan dara dari sebarang kebusukan politik ini, saya tidak mahu menyebut pasal politik. Baik saya sebut tentang saya dan impian saya.

Kecil kecil dulu, dalam kenakalan saya, saya pernah teringin untuk menjadi seorang ustazah. Waktu itu saya sering terlihat Dr Mashitah (ketika itu digelar Ustazah) berbicara dengan petahnya di kaca TV melalui Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Waktu itu, saya kanak-kanak yang nakal dan banyak sifat kelakian. 

Geng bermain adalah abang sendiri yang selalu mengajak saya berlumba basikal, memanjat pokok untuk merembat buah mangga orang, main police and thief satu taman perumahan termasuklah melihat abang abang remaja bermain bola sambil saya bertenggek di atas pohon mangga epal milik jiran. Hari hari makcik tuan pokok tu menghambat saya untuk turun risau kalau jatuh tak memasal terpatah tangan. Tapi hari hari juga saya panjat pokok (jika abang saya turut panjat).

Jadi impian menjadi ustazah tu menjadi satu cita cita kelakar untuk saya. Hingga saya dewasa, ianya satu impian yang kelakar dan mustahil. Itu pada fikiran saya.

Sehinggalah saya mula mengikuti usrah sekitar 3 tahun lalu. Alhamdulillah. Saya sendiri tak sangka saya hendak mengikuti usrah. Saya tak sangka, saya berlapang dada dengan konsep usrah dan saya sungguh tak sangka, saya mesra dengan ahli usrah. 

Saya pernah diajar, salah satu cara Allah berkehendakkan kebaikan kepada hambaNya ialah dengan memberi kefahaman agama kepadanya. Mengetahui hakikat ini, saya memasang impian untuk sungguh-sungguh memperbaiki kefahaman agama saya dan saya cukup cemburu kepada orang yang Allah berkehendakkan kebaikan ke atasnya. Saya fikir, peluang ini perlu direbut!

3 tahun adalah satu perjalanan yang singkat. Saya ingin terus berada dalam gerabak ini agar saya tidak tercicir dari senarai orang orang yang Allah mahu berikan kebaikan. 

Perlahan-lahan, saya mula dijadikan tempat rakan/kenalan berkongsi rasa, meluah masalah dan meminta pendapat. Topiknya pelbagai. Kadang hal kawan, kadang hal keluarga, kadang hal perasaan, kadang hal kewangan, dan macam-macam lagi. Kebiasaannya saya score dalam memberi pendapat. Barangkali kerana Allah pinjamkan saya bakat menyusun ayat dengan baik. 

Satu hari, seorang sahabat berkongsi rasa dengan saya. Topik perbincangan asal adalah komunikasi lelaki-perempuan. Entah bagaimana perbincangan menjadi lanjut, masuklah isu ikhtilat.

Setakat pengetahuan dan ilmu saya yang tak sampai secebis, saya sampaikan kepadanya. Niat saya, untuk mengingatkan. 

Akhirnya saya terduduk dan termenung sendirian apabila saya ditembak berdas-das tentang ikhtilat. Sahabat saya katakan, saya sendiri tidak menjaga ikhtilat, masakan saya boleh memperkatakan tentang tindakan/caranya. 

Pedihnya rasa, seperti belati tumpul mencucuk hati. Sakit. Perit. Pedih. Allah saja yang tahu.

Awalnya saya rasa marah. Geram.
Saya fikir "aku tak seperti yang kau fikir". Tapi saya ambil masa untuk muhasabah diri dan menenangkan diri. Saya semak semula nasihat/teguran saya kepadanya. Saya mahu tahu, salahkah teguran saya ini? Semuanya tidak bercanggah. Jelas. 

Tapi kenapa ditentang sebegitu rupa?
Lama saya fikir dan merenung sehingga terlelap. Lelap saya dalam hati yang masih ngilu. Pedih. Sedikit terhina rasanya.

Kemudian saya sedar saya merenung kembali apa yang buat saya benar-benar sedih? Saya sedih kerana perkara baik dan betul yang saya cuba sampaikan menjadi gagal kerana kelemahan saya sendiri.

Cita cita menjadi ustazah setakat ini masih gagal. Huhu.

Saya malu kerana saya belum layak memberi nasihat dan teguran saat saya sendiri masih baaaanyak compang campingnya. Saya masih baaaaanyak cacat celanya dan banyak sangat diskaun yang saya berikan kepada diri sendiri khususnya soal ikhtilat saya dengan lelaki ajnabi.

Rasa sedih mencucuk cucuk kerana saya sedar saya menganyam fitnah untuk agama saya sendiri. Menegur sahabat sendiri pun menerima reaksi sebegitu, what more kalau berdakwah kepada orang asing. Entah entah diludahnya saya.

Perasaan sedih dan pedih itu sampai hari ini masih bersisa di hati saya. Walaupun saya akui, menjadi saya, tak sukar untuk saya fahamkan orang (yang mahu faham) tentang kesilapan saya dalam isu ikhtilat ini, namun pedihnya masih berbekas.

Leka. Ambil mudah. Terlalu yakin.
Tiga perkara ini yang membuatkan saya terlelap dalam isu ikhtilat ini. Saya leka dalam buaian perasaan sendiri. Saya ambil mudah perkara penting ini. Dan saya terlalu yakin bahawa komunikasi saya dengan lelaki lelaki ajnabi sikit pun tidak membekas di hati saya. 

Memang tidak membekas.
Tetapi menjadikan fitnah sia sia untuk saya dan agama.

Jadi, dalam usaha membaluti kembali luka hati, saya memilih untuk berdiam diri dan menyendiri. Muhasabah diri perlu lagi dan lagi. Mahu jadi ustazah? Haha! Gelakkan diri sendiri. Jauh langit dari bumi!

Saya hanya mampu berdoa kepada Allah swt. Kalau hati saya ini masih boleh dirawat, rawatlah ia dan bersihkanlah ia. Kalau teruk rosaknya, gantikanlah ia dengan hati yang baru.

Saya redha apa jua ketentuanMu.
Tentukanlah jalan saya ke SyurgaMu.
Peliharalah semua insan yang saya hargai sejak dulu.
Penuhilah hati kami dengan cinta kepadaMu.

Ameen.

Comments

Popular Posts