#56 Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin

Bismillah. Alhamdulillah.

Jadi, di hujung tahun yang mulia ini, kerja di pejabat tidaklah menggoyahkan jiwa. Biasa-biasa dan sedang-sedang aja. Kejap ada, kejap tak ada. Kejap siap, kejap terlupa untuk siapkan. Haha. Okay itu drama.

Memandangkan cuti tahunan masih berbaki, jadi daku telah memasang strategi untuk menziarahi teman-teman di Pulau Pinang. Terkadang, bahasa pasar zaman kini melabelkan aktiviti menziarah sebagai berjimba. Daku menerima kedua-duanya. Kerana terkadang, niatku untuk berziarah, terkadang niatku bertukar untuk berjimba. Apa jua perkataan yang digunakan, kedua-duanya membawa kepada pertemuan dengan teman dan sekaligus menghabiskan duit di dalam poket yang sering kebocoran.hehe.

Malaysia ini indah sekali. Banyak benar cuti umum. Tambah tambah pula apabila bekerja di dalam syarikat berstatus GLC. Kalau boleh, berganda lagi cuti mereka nak beri. Maka pada kami yang bergelar 'kuli' ini, tiada lain untuk dikomplen melainkan nikmat nikmat cuti wajib disyukuri. hehe.

Oleh yang demikian, menjelang esok malam, akan daku memulakan perjalanan bermusafir ke Penang. Dengan menaiki kapal terbang berjenama Terbang Berapi (read: Firefly) dan dengan estimated tempoh perjalanan selama satu jam, akan ku titipkan doa-doa indah buat kalian sepanjang permusafiran ku. Maklumlah, Naqibah daku selalu berkata, "Doa orang musafir itu makbul". Walaupun KL-Penang macam sekangkang kera, namun, doa itu tetap akan ku tembakinya. Pergh. Perkataan apa ni tembakinya? Lempang karang. haha.

Indah juga menaip dalam bahasa skema yang tak ingat dunia ini, ya? Terasa seperti seorang Saloma yang sedang menenyeh pena di atas selembar kertas buat sang kekasih bernama P Ramlee. Lalu tatkala jodoh menemukan mereka dan dikurniakan zuriat, lahirkan anak yang suci namanya Pigidah. Atau Piramlah? Tak kisahlah. 

Di saat musim tengkujuh menduga Malaysia waktu ini, daku cuak-cuak-ayam juga hendak ke Penang. Sewaktu menempah tiket, tidak ku fikirkan akan dugaan musim tengkujuh seperti waktu ini. Namun daku optimis bahawa musim tengkujuh dan bah yang datang memfokuskan kepada kawasan Pantai Timur negara. Ya, pantai timur. Tempat tinggal ramai saudara-mara sebelah ibuku. Mereka pasti mempunyai kemampuan berenang dengan hebat sekali. Itu agakan daku saja. Masakan pakcik-makcik dan saudaraku yang tua-tua masih sudi untuk berenang meredah banjir? No, I don't think so. Ewah, Saloma masih speaking juga sekali sekala ya?

Nampak tak betapa 'free' nya masaku, sehingga mampu merapu-rapu dengan syok sendirinya pada blog yang sudah tiada pembaca. Maklumlah, pernah poyo-poyo mengumumkan penutupan blog. Manakan ada lagi yang setia menanti. Kata orang kerek, 'pinggan tak retak, nasi tak dingin. orang tak nak tulis blog lagi, aku pun tak hingin buka link blog ni'.

Akhir kata, doakan sesi ziarah ke Penang ku sukses. Bukan. Bukan Line Clear yang ingin ku cari. Cukuplah sekadar sekilo Jeruk Pak Ali.

Bertemu lagi pada ruangan akan datang. Mungkin dengan tajuk: "Pak Ali Jual Jeruk Ajak Aku Kahwin Lari".

Panjang pulak tajuk entri. Tak best lah. Lain kali daku fikirkan lagi.
Sekian.
Wassalam.

Comments

Popular Posts