#57 Malu Nak Cakap

Bismillah. Alhamdulillah.

Malam Sabtu yang lalu daku telah selamat tiba di KL dari Penang. Daku pergi ke Penang menaiki Firefly dan pulang juga menaiki Firefly. Ini pengalaman pertama daku menaiki Firefly. Setakat kehidupanku yang separa singkat separa tua ini, daku sering menaiki Air Asia. Ceh, bukanlah sering sangat. Tapi daku selalu berpendapat bahawa Air Asia murah dan daku mampu lah sikit. Setakat bernafas ini, belum pernah daku menaiki MAS. 

Menaiki Firefly sungguh menyeramkan daku pada awalnya. Rasanya seperti menaiki bas terbang. Bunyi enjinnya bukan main kuat.hehe. Tapi alhamdulillah, perjalanan selama sejam dari KL ke Penang dan dari Penang ke KL sungguh tenang dan damai. Kecuali pada perjalanan balik, cuaca tidak begitu baik sehinggakan juruterbang dan kru sempat membuat pengumuman tentang gangguan cuaca. Daku mengetepikan kecuakan daku kerana daku mengantuk yang terlalu waktu itu.

Sewaktu daku di Penang, daku berjalan dengan penuh rasa berdosa dan tak guna sekali. Kerana waktu itu Pantai Timur sedang dilanda banjir dengan dahsyat sekali. Daku memang bercita-cita hendak turun padang menjadi sukarelawan tapi daku harus menunggu banjir surut. Risiko tinggi. Jadi setakat ini hanya mampu membantu dari jauh.

Lebih menyirap apabila coverage Celcom menghadapi masalah di Penang sepanjang Hari Krismas tempoh hari lalu menyekat kebebasan daku untuk membaca berita dan meng-update diri tentang keadaan banjir waktu itu. Almaklumlah, daku kan feeling YB cuma belum sempat belajar main golf je lagi. Setakat ini daku mahir bermain congkak sahaja.

Namun sambil sambil daku gusar hati itu, daku tetap mengikut flow perjalanan percutian di Penang seperti yang disusun penganjur yakni rakan-rakan ku seketul dua orang itu. Dan yang pasti, percutian di Penang tak ada kena mengena dengan tidur di hotel atau berjemur di tepi pantai. No. Percutian ini hanya semata-mata mengenal budaya pemakanan orang Pulau Pinang. Gila pecah perut baq ang.

Jadi hari ini daku masuk kerja seperti biasa. Di hujung tahun yang damai ini, tak berapa nak sibuk nampaknya.

Di pagi hari seperti selalu daku keliru nak pakai baju apa pergi ke pejabat. Nak pakai jubah tapi musim musim hujan ni macam menampakkan kecomotan daku je nanti lalu daku membuat keputusan memakai baju kurung moden yang ditempah khas sempena konvo LLM sekitar dua bulan lalu. Sedih, amat sedih. Tak terluah kesedihanku. Dan daku juga malu nak cakap. Malu nak cakap yang daku perlu berhempas pulas menahan seksa memakai baju ini kerana kainnya ketat sampai tak daya daku bernafas. Ketat diperut, kekdahnya. Daku telah melakukan dosa. Dosa ke atas perut ku. Daku sesal dan sangat sesal.

Manakan tidak, sepanjang 3 hari 3 malam di Penang, aktiviti harian daku penuh dengan berjalan ke sana ke mari untuk merasa makanan-makanan di Penang. Orang dok kata rugilah kalau mai Penang tak makan Nasi Kandaq Beratuq, maka kami pergi lah beratur dengan gigihnya pada jam 1130 malam dan mengambil masa 45 minit untuk mendapatkan barang sepinggan nasi kandar. Sanggup.

Orang kata juga rugilah kalau mai Penang tak rasa Mee Sotong di Padang Kota. Maka kami pergi lah Padang Kota, juga beratur dengan gigihnya dan mengambil masa kurang lebih 20 minit untuk mendapatkan barang sepinggan nasi mee sotong. Sanggup. 

Orang juga kata rugilah kalau mai Penang tak rasa Chendol Original di Town. Maka kami pergi lah Town untuk merasai nikmat Chendol itu, juga beratur dengan gigihnya dan mengambil masa kurang lebih 20 minit juga untuk mendapatkan barang semangkuk Chendol. Sanggup. 

Banyak lagi lah menu yang wajib dirasai mengikut pesanan orang-orang pakar tentang makan-makan di Penang. Roti Canai Transfer Road lah, Sup Hameed lah, Char Kuew Tiaw lah, Roti Naan Cheese Kapitan lah, makanan sarapan bernama Serabai lah, Pasembur lah, Rojak Menjerit lah dan sebagainya. Dan segala yang daku sebutkan ini, daku telah merasainya sepanjang kehidupan singkatku di Pulau Pinang. Maka, tatkala kain menjadi ketat, siapa yang harus ku persalahkan? Ketua Menteri Pulau Pinang kah?

Dalam segala senarai 'Must Go Places in Penang' yang telah dicadangkan oleh rakan sepejabatku yang merupakan warga asal Penang, semuanya berkenaan dengan makanan. Lalu, apakah mampu ku nafikan tentang kepentingan merasai segala jenis makanannya?

Oleh yang demikian, daku telah memasang satu cita-cita baru bahawa daku akan berhenti memakan nasi lemak sehingga daku berjaya mencapai saiz badan yang ideal. Paling tidak pun persis Fazura. haha.

Ini kes berat! Daku belum pernah mencapai berat badan sebanyak ini sepanjang penghidupanku. Sebelum ke Penang, berat daku sudah mencecah 45kg sehingga menampakkan dagu yang melebihi keperluan (yang perlu cuma 1, daku kini mempunyai 2 dagu) manakala sepulangnya daku dari Penang, daku syak berat daku semakin menunjukkan peningkatan selaras dengan peningkatan air banjir di sungai-sungai utama negeri Kelantan waktu ini. Jadi, wajarlah daku berhenti memakan nasi lemak.

Walaupun orang mengejekku dengan mengatakan 'eleh baru 45kg dah kecoh' tapi ketahuilah bahawa daku pendek, lalu tak sesuai daku mencapai berat badan melebihi 45kg. Kelak daku boleh digelar si Gepen yakni Gemuk Pendek. 

Dan dalam sejarah penghidupan Ummi ku, beliau berkahwin dengan berat 37kg maka, daku tak boleh lawan tokey, kan? Lihatlah saiz badan Ummi ku kini, tak ngeri kan? hahaha.

Berkat keinsafan ku, hasilnya pagi tadi, daku menggantikan nasi lemak (yang selama ini menjadi menu wajib sarapanku) dengan Mee Jawa. 

Dan rakan ku telah menghampakan daku dengan mengatakan 'Tak ada beza Nasi Lemak dan Mee Jawa, dua dua menggemukkan U'. Sunggup biadap dan menikam kalbu.

Fine. Tunggulah daku berkhidmat untuk mangsa banjir, daku pasti kurus kerana bekerja keras. Daku optimis.

Please pray for ke-slim-an ku.
Jauhi Penang. Bahaya. Membuncitkan.

Pray for Malaysia.
Pray for Air Asia Indonesia.

p/s: Tiada gambar disediakan kerana daku ini pemalu. 

Comments

Popular Posts