#36 Cerpen Berbabak babak - Mek Thiroh
Kelam kabut Athirah berkejaran ke depan pintu rumah sambil masih mengunyah sisa sisa akhir cekodok bilis yang disediakan Umminya pagi itu. Sepatu kerja hitam bertali ala-ala stylo disarung ke kaki kanan ke kemudian ke kaki kiri. Punyalah malas dia hari ini untuk fikirkan pakaian kerjanya, selamba dia sekadar menggosok sepasang jubah kosong berwarna mustard dengan tudung bercorak jenama Akel pagi tadi. Langsung tak ada gaya pekerja di bahagian perundangan. Saling tak tumpah macam eksekutif yang baru tamat universiti yang masih keliru identiti. Persis AJK Surau Pejabat pun iya juga.
"Okay lah Ummi. Salam. Nak pergi kerja dulu, dah lambat!". Athirah menghulurkan tangan kanannya. Dikucup tangan kanan Umminya yang kedut seribu. Kemudian dikucup pipi kanan Umminya, beralih ke pipi kiri dan kanan sekali lagi. Okay done! Barakah! Bismillah.
Puan Sabariah hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat gelagat anak perempuan bongsunya itu. Hari hari pun begitu juga gelagatnya. Bebelnya bergelen-gelen pun. Dia tetap selamba begitu. Bukan Puan Sabariah tak pernah tegur perihal penjagaan waktunya, perihal pakaian 'tak korporat' nya. Tapi Athirah menjadi Athirah, memang payah nak dengar cakap.
Sekali sekala selepas ditegur ada juga 'improvement'nya. Tiba tiba dilihat anaknya bersiap dengan pakaian bukan main korporat lagi. Datang mood 'ostajah'nya pula, dia belasah jubah berhari hari. Naik pening dibuatnya.
Selesa Athirah membetul duduk di ruang penumpang hadapan kereta waja lama ayahnya. Dia menoleh ke kanan, menghadiah senyum buat Encik Karim.
"Okay, bah. Jom!".
"Ada apa apa tinggal tak? Purse? Handphone? Semua ada?", aju Encik Karim. Hari hari pun dia akan bertanya soalan sama kepada Athirah. Encik Karim memang prihatin orangnya. Terkadang keprihatinannya menjadi bahan ketawa anak anak pula. Sebabnya skrip soalan memang seperti 'copy-paste' setiap hari.
"Takde tinggal. Semua ada. Jom bah", jawab Athirah. Setiap hari memang Encik Karim selesa menghantar anaknya ke stesen LRT walaupun berkali-kali Athirah mencadangkan untuk dia memarkir sahaja kereta di stesen LRT. Bukan tak suka dilayan baik sebegitu cuma terkadang dia terfikir juga, sampai bila hendak disusahkan mereka. Tapi adatlah, ibu bapa ini, kalau A kata mereka, A lah yang perlu diturutkan anak-anak. Itulah dilema Athirah sebenarnya. Padanya, layankan sajalah cara Ummi dan Abahnya selagi tak jatuh kes berat.
Kereta meluncur laju ke Stesen LRT. 3 minit perjalanan mereka hanya berbasa-basi tentang perancangan aktiviti Encik Karim dan Puan Sabariah hari ini. Selalu Athirah akan bertanya sekadar untuk ambil tahu jika Ummi dan Abahnya ada merancang untuk melangkah jauh sikit pada hari hari tertentu. Pada hari hari biasa, mereka hanya bersantai di rumah.
Selepas beberapa ketika kereta dihuni sunyi, Encik Karim memecah sunyi.
"Tahun ni umur Thirah berapa? 27 ke?", soal Encik Karim kepada Athirah.
Pelik juga Athirah disoal begitu. Dah kenapa Abah aku ni?
"Haah. 27.", jawab Athirah pendek. Dia seperti dapat meneka soalan tersebut menuju ke mana.
"Tapi kalau Abah nak kata Thirah umur 25 pun boleh. Kan awet muda wajah ni", Athirah lempar senyum kepada Encik Karim. Sengaja bergurau kerana tidak mahu ayahnya terus serius dengan perbualan pagi itu.
"Memang wajah muda. Abah tau lama dah yang tu", balas Encik Karim. Dia lempar senyum. Ada ada saja Athirah ni!
"Thirah agak, bila Thirah nak kahwin?", Encik Karim menembak soalan tepat kepada anaknya. Cukup untuk buat Athirah tercekik air liur pagi itu. Dalam diam Athirah berdoa, 'cepatlah sampai LRT!'. Encik Karim seorang ayah yang agak tenang. Bukan sifatnya memaksa anak anak berkahwin. Jauh sekali memberi tekanan urusan jodoh dan perkahwinan ini. Namun melihat Athirah bukan main selesa dengan kehidupan 'single'nya pada usia ini Encik Karim perlu lakukan sesuatu. Dia khuatir Athirah semakin melupakan keperluan menyempurnakan separuh imannya dengan pernikahan.
Kereta membelok perlahan ke arah stesen LRT Sri Rampai - tempat biasa Athirah untuk pergi ke pejabat.
Athirah sengaja tinggalkan soalan Abahnya tak berjawab. Bukan untuk tunjuk protes kerana disoal dengan soalan begitu. Cuma dia benar benar tiada jawapan untuk soalan itu. Ikutkan hati, tahun tahun lepas lagi memang dia dah nak kahwin. Tapi, semua itu di luar kawalannya. Jodoh itu kuasa Tuhan. Hanya doa yang mampu dia panjatkan. Bukan sengaja melewat-lewatkan. Perkahwinan itu padanya satu keperluan khususnya untuk perempuan sepertinya. Walaupun dia selesa tinggal di bawah ketiak Puan Sabariah dan Encik Karim hingga usia begini, tak bermakna dia tak merancang untuk berdua.
Melihat Athirah terus diam dan mengabaikan soalannya tidak berjawab, Encik Karim terus menembak anaknya dengan soalan yang lebih tepat.
"Thirah contact lagi dengan 'kawan lama' tu?", selamba Encik Karim menyoal tanpa berfikir dua kali.
Walaupun dia tahu apa yang pernah Athirah lalui bukan perkara mudah untuk Athirah hadapi, Encik Karim percaya Athirah yang dia kenali tidak hanyut dan larut dalam sejarah lamanya. Sebagai ayah, pastinya dia pingin melihat Athirah terus segar seperti dulu. Sungguhpun Athirah 'waktu bahagia' dulu tidaklah jauh beza dengan Athirah yang sekarang di mata orang lain namun sebagai ayah dia seperti dapat menumpang rasa apa yang ada di dalam hati Athirah waktu ini.
Athirah. Athirah.
Ceria dia, tenang dia, kelakar dia, garang dia, dengar kata dia, degil dia, comel dia, selekeh dia. Semua tentang dia buat dia istimewa. Sebagai ayah, Encik Karim sering mengharapkan Athirah dibahagiakan oleh insan yang benar benar ikhlas menerima buruk baik dia. Yang benar benar faham akan perjuangan Athirah tentang kehidupannya. Setahun dulu, dia lega memikirkan Athirah akan dilepaskan bersama lelaki yang difikirnya sekufu buat Athirah. Namun, bahagia Athirah tak lama. Dia diuji.
Lama Athirah diam, mengambil masa untuk menjawab soalan ayahanda kesayangannya. Kemudian dia bersuara, "Contact sekali sekala, Abah".
Dia sendiri keliru bagaimana cara terbaik untuk menceritakan perkembangan dia dan 'kawan lama'. Oh mungkin dia perlu terima hakikat, memang tiada perkembangan. Dia sendiri tak pasti kenapa jawapan itu yang dia beri.
Kebetulan, kereta waja Encik Karim berhenti cantik di hadapan tangga stesen LRT Sri Rampai. Encik Karim pun tak berhajat untuk memanjangkan cerita yang hendak dikoreknya waktu itu. Athirah membetulkan pakaian dan begnya bersedia untuk keluar dari kereta.
"Ok Abah. Thirah pergi dulu ye. Nanti petang Thirah call bagitahu pukul berapa Abah datang ambik Thirah. Salam", dia menghulur tangan untuk bersalaman dengan Encik Karim.
Encik Karim menghulur tangan. Athirah mencium tangan tua itu. Sempat dia mengenyit mata kanannya kepada ayahnya. Sengaja mengusik. Encik Karim hanya tergelak kecil. Athirah membuka pintu kereta, memberi salam, pintu ditutup dan dia terus berlari lari anak memasuki stesen LRT Sri Rampai.
-------------------------
Spoil. Mood spoiled. Dah lah mood nak kerja tak berapa nak ada. Sebab itu berjubah mustard sahaja aku hari ni. Kalau mood kerja tengah memuncak berpakaian korporat sikit aku ni. Abah pula pagi pagi dah tanya pasal kahwin.
Jiwa ni kalau aku boleh tunjuk kat orang, orang sure speechless tengok betapa huduh dan sadisnya. Tapi tak pe. Allah kan ada.
Rahsia Allah. Kita mungkin tak mampu teka, tapi kita mampu usaha. Kan 'kawan lama' kan? Thirah tahu kita sama sama redha. Thirah juga tahu Allah swt tak beri kesusahan tanpa kesenangan.
---------------------
P/s: sambung len kali. Hahaha
Comments