#33 Perempuan 33 Purnama Melepasi Suku Abad

Sering saya ditembak soalan ‘bila lagi?’ ‘tunggu apa lagi?’ dengan rakusnya. Gelojohnya manusia bertanya tentang orang lain melebihi gelojohnya mereka mendoakan yang baik baik buat diri mereka sendiri.

Oh mungkin saya silap. Tapi itulah yang saya rasakan.

Terasa? Oh pastilah tidak. Saya okay-okay saja. Keluarlah dan lepaklah dengan sesiapa pun, baik yang jauh lebih muda, muda sedikit, seusia, tua sedikit atau sangat tua, semua generasi gemar bertanya soalan lebih kurang sama motifnya. 

Saya fikir, mereka mahu lihat saya bahagia. Ya, saya juga mahu saya bahagia. Dan Alhamdulillah, kalau kalian khuatir, saya jelaskan di sini, saya sedang bahagia.

Terkadang saya juga fikir, mungkin mereka fikir saya langsung tak merancang untuk ‘berdua’. Oh mungkin saya silap. Tapi terkadang, itulah yang saya rasa.

Jika benar telahan saya, mari saya jelaskan di sini. Fitrah manusia untuk dikasihi, mengasihi, disayangi, menyayangi, dicintai, mencintai, dirindui, merindui dan segala jenis ‘di’ dan ‘men’ yang indah-indah bersama pasangan yang halal. Fitrah manusia. Aneh lah saya kalau saya langsung tidak terfikirkan akan segala ‘di’ dan ‘men’ yang saya sebutkan di atas. Namun, siapalah saya untuk memaksa Tuhan Yang Maha Tahu untuk melajukan apa yang Dia tentukan untuk perlahan. Besar sangatkah saya ini untuk memerintah Tuhan? Pastinya tidak. Saya hamba yang benar benar mengharap ihsanNya.

Malah, saya fikir, saya juga tidak perlu untuk membuka segala cerita dan kisah yang saya punya. Tak segala benda perlu dicerita semata untuk menyedapkan telinga orang mendengar dan sebagai usaha memberi orang faham.

Kalau dikisahkan pernah kecundang dengan harapan orang faham, pasti kemudiannya orang katakan ‘cubalah usaha untuk yang baru’.

Dan kalau dikisahkan akan diri ini yang masih banyak perkara untuk diperjuang, pasti kemudiannya dikatakan ‘kau memang tak pernah merancang’.

Dan kalau dikisahkan diri ini hanya sedang menanti barang satu-dua orang, pasti kemudiannya ditembak ‘ah kau cerita semua gebang’.

Lalu nak dikisahkan apa lagi? Baik diam, ye tak?

Memanglah bukan mudah menjadi perempuan solo pada usia 33 purnama melepasi suku abad. Tapi tak susah juga. 

Manusia perlu belajar mengenali Tuhan dengan ujian, bukan hanya melalui keseronokan. Manusia perlu belajar kenal redha, bukan hanya melayani lara. Dan kita perlu belajar satu prinsip hidup yang terlalu simple tapi masih kita gagal untuk memahaminya. Bahawa, jalan hidup tiap tiap dari kita memang Tuhan jadikan berbeza. Tak sama.

Tolak tepi lah isu awak lembut, saya garang. Awak kulit manis, saya hitam kelam. Awak wangi, saya busuk. Awak cantik, saya selebet. Awak itu dan saya ini, yada yada. Itu cuma prinsip yang manusia reka-reka. 

Hakikatnya cuma, we are subjected to His plans. In totality. Bukan separuh-separuh.

Senang faham, kan? Alhamdulillah. Mohon doakan ya?
Jazakumullahu khairan kathira. 

p/s: Alhamdulillah as I am approaching 28 years old in 3 months time. Never thought that I will still look this young. hahaha

Comments

Popular Posts